Bagaimana Iklan Carian Google Berfungsi

Artikel ini menerangkan tentang kriteria-kriteria yang ditetapkan oleh Google bagi menentukan iklan manakah yang akan dipaparkan apabila pengguna membuat carian menggunakan kata kunci tertentu.

KEMPEN GOOGLE ADS

Dr. Kay

9/18/20233 min read

iklan carian Google
iklan carian Google

Google Ads adalah platform pengiklanan yang membolehkan perniagaan memaparkan iklan mereka di halaman hasil carian Google apabila pengguna memasukkan kata kunci tertentu. Namun begitu, adakah anda tahu bagaimana Google memutuskan iklan mana yang akan dipaparkan di halaman hasil carian (search engine result page atau SERP) selepas pengguna menaip kata carian tertentu? Sebenarnya, paparan iklan di laman hasil carian adalah melibatkan proses-proses seperti berikut:

Proses pertama : Pemilihan Kata Kunci

Sebelum pengiklan dapat memulakan kempen iklan mereka, mereka perlu memilih kata kunci-kata kunci yang berkaitan dengan produk atau perkhidmatan yang mereka tawarkan. Kata kunci ini adalah kunci kepada iklan mereka yang akan menentukan bila iklan mereka perlu muncul di laman hasil carian.

Contoh: Peniaga bunga online, Flower Chimp mungkin memilih kata kunci seperti "florist", "fresh flower" dan "flower delivery" sebagai antara kata kunci penting yang menggambarkan perniagaan mereka. Jadi, iklan mereka mempunyai berkaitan dengan kata kunci-kata kunci ini.

Untuk lebih memahami tentang kata kunci, baca artikel Peranan Katakunci di dalam Google Ads.

Proses ke 2 : Tetapan Bidaan

Pengiklan menetapkan jumlah bidaan yang mereka sanggup bayar apabila seseorang mengklik iklan mereka selepas mencari kata kunci tersebut. Semakin tinggi jumlah bidaan, semakin besar peluang iklan akan dipaparkan pada tempat teratas dalam laman hasil carian.

Contoh: Flower Chimp menetapkan bidaan sebanyak RM2 untuk kata kunci "florist", "fresh flower" dan "flower delivery".

Untuk lebih memahami strategi-strategi bidaan yang ada di Google Ads, baca artikel Ketahui Strategi Bidaan Di Google Ads.

Proses ke 3 : Kualiti Iklan

Google menilai kualiti iklan yang diserahkan oleh pengiklan. Kualiti iklan ini ditentukan oleh 3 faktor terpenting iaitu:

  • Relevansi: Ia adalah sejauh mana iklan anda relevan dengan kata kunci yang dicari pengguna. Google akan memberi markah yang lebih tinggi kepada iklan yang lebih relevan. Anda boleh meningkatkan relevansi iklan anda dengan menggunakan kata kunci yang tepat di dalam teks iklan anda dan memastikan iklan anda memberikan maklumat yang relevan dengan apa yang dicari pengguna.

  • Click-through rate (CTR): Ia adalah nisbah bilangan kali iklan anda di klik dengan bilangan kali ia dipaparkan. Google akan memberi markah yang lebih tinggi kepada iklan yang mempunyai CTR yang lebih tinggi. Anda boleh meningkatkan CTR iklan anda dengan membuat iklan yang lebih menarik dan relevan dengan kata kunci yang disasarkan.

  • Pengalaman laman pendaratan: Ia adalah sejauh mana laman web yang dipaparkan apabila pengguna mengklik iklan anda memenuhi jangkaan mereka. Google akan memberi markah yang lebih tinggi kepada iklan yang mempunyai laman web yang memberikan pengalaman yang positif kepada pengguna. Anda boleh meningkatkan pengalaman laman web anda dengan membuat laman web yang mudah dinavigasi, informatif, dan selamat.

Skor kualiti iklan adalah pada skala 1 hingga 10, dengan 10 adalah markah tertinggi. Kualiti iklan dengan skor yang lebih tinggi akan membolehkan iklan ditampilkan lebih tinggi di dalam laman hasil carian dan dengan kos klik yang lebih rendah.

Proses ke - 4: Lelongan

Apabila seseorang memasukkan kata carian ke dalam enjin carian Google, proses lelongan bermula. Google menggunakan algoritma untuk menilai iklan berdasarkan faktor seperti jumlah tawaran, kualiti iklan, dan penggunaan sambungan iklan (kini dikenali sebagai Assets).

Contoh: Salmah ingin menghadiahkan sejambak bunga kepada suami beliau sempena ulangtahun perkahwinan mereka yang ke-10. Lalu, beliau mencari maklumat peniaga kedai bunga di Google dengan menulis terma carian "florist". Google akan mengadakan lelongan untuk menentukan iklan mana yang paling relevan untuk dipaparkan kepada Salmah.

Proses ke - 5: Keputusan dan paparan iklan

Iklan dengan penilaian tertinggi di dalam proses lelongan akan dipaparkan di laman hasil carian, biasanya di bahagian atas dan bawah halaman. Pengguna akan melihat iklan ini dengan tanda "Sponsored" untuk membezakannya daripada hasil carian organik.

Contohnya; selepas membuat beberapa pertimbangan, Google mendapati iklan Flower Chimp adalah yang paling relevan, berkualiti dan memberikan nilai bidaan yang munasabah. Sebab itu, iklan Flower Chimp telah dipaparkan pada kedudukan yang paling atas, kemudian dituruti oleh iklan-iklan dari pesaing-pesaing yang lain.

Iklan carian google
Iklan carian google

Proses ke - 6 : Pengiklanan Bayar-Per-Klik (PPC)

Pengiklan akan dikenakan bayaran setiap kali seseorang mengklik iklan mereka, dengan jumlah bayaran ditentukan oleh nilai cost per click (CPC) semasa proses lelongan. Nilai sebenar yang pengiklan bayar adalah bersifat dinamik kerana Google menggunakan banyak faktor untuk menetapkan CPC. Antaranya; kualiti iklan, CTR, jenis industri, masa, hari dan sebagainya. Untuk mengetahui dengan lebih terperinic berkaitan CPC, anda disarankan membaca artikel faktor-faktor yang mempengaruhi kos pengiklanan.

Kesimpulan

Google menggunakan algoritma yang kompleks untuk memutuskan iklan mana yang akan dipaparkan di laman hasil carian selepas pengguna menaip kata kunci tertentu. Dengan pemilihan kata kunci yang bijak, nilai bidaan yang munasabah, dan iklan yang berkualiti tinggi, pengiklan boleh mencapai prestasi yang baik di dalam kempen iklan mereka di Google Ads.

Baca artikel-artikel yang berkaitan:

Katakunci di dalam Google Ads: Peranannya di dalam kejayaan kempen pengiklanan

Jenis-jenis pengiklanan di Google Ads

5 langkah mengira bajet iklan di Google

Panduan langkah demi langkah melancarkan iklan di Google Search

Panduan menulis tajuk iklan Google yang menarik

Bagaimana iklan carian di Google berfungsi

Memahami komponen dan struktur penting Google Ads

Bagaimana untuk mengukur prestasi iklan di Google Ads

Ketahui bagaimana kedudukan iklan Google ditetapkan di hasil carian pengguna

Ketahui strategi menetapkan harga bidaan di Google Ads untuk meningkatkan kejayaan kempen

Retargeting: Keperluannya dan kaedah melaksanakannya