Kata kunci di dalam Google Ads: Peranannya di dalam kejayaan kempen pengiklanan

Artikel ini menerangkan tentang kata kunci yang merupakan komponen penting di dalam Google Ads, serta tip-tip memilih kata kunci yang terbaik.

KEMPEN GOOGLE ADS

9/1/20236 min read

Kata kunci di dalam Google Ads
Kata kunci di dalam Google Ads

Dalam dunia pemasaran digital yang sentiasa berubah dan berkembang, Google Ads telah menjadi alat yang penting untuk mencapai sasaran pelanggan anda. Salah satu unsur terpenting di dalam strategi Google Ads adalah penggunaan kata kunci yang tepat. Kata kunci memainkan peranan utama di dalam memastikan iklan anda disampaikan kepada orang yang paling berpotensi untuk berinteraksi dengan produk atau perkhidmatan anda. Dalam artikel ini, saya akan membincangkan secara mendalam mengenai penggunaan kata kunci dalam Google Ads dan bagaimana anda boleh mengoptimakan penggunaannya untuk mencapai kejayaan pemasaran digital.

Apa Itu Kata Kunci dalam Google Ads?

Kata kunci dalam konteks Google Ads merujuk kepada rangkaian perkataan atau frasa yang disasarkan oleh pengiklan untuk mencari orang yang melakukan carian di enjin carian Google. Apabila seseorang mencari sesuatu di Google menggunakan kata kunci tertentu, iklan yang berkaitan dengan kata kunci tersebut akan muncul di bahagian atas atau bawah hasil carian organik.

Jenis-Jenis Kata Kunci

  1. Kata Kunci Umum (Broad Match): Iklan akan dipaparkan di dalam carian Google sekiranya pengguna mencari maklumat menggunakan kata kunci yang ada persamaan dengan kata kunci umum yang anda gunakan. Ia termasuk kata kunci yang mempunyai maksud yang sama (synonyms), kata kunci di dalam bentuk singular dan plural, kesilapan ejaan, dan pelbagai variasi lain.

    Sebagai contoh; sekiranya anda menetapkan 'kereta Perodua' sebagai kata kunci umum, iklan anda akan dipaparkan di semua kata kunci yang dicari pengguna, yang mempunyai kaitan dengan perkataan 'kereta Perodua'. termasuklah perodua, perodua untuk dijual, perodua untuk dibeli, perodua Alza, harga perodua, kereta murah, kereta proton untuk dijual dan sebagainya.

    Walaupun kata kunci umum memberikan jangkauan yang lebih meluas, ia juga boleh mengakibatkan iklan muncul untuk frasa-frasa yang tidak relevan atau tidak berkenaan. Ini mungkin akan membawa kepada klik yang tidak berkualiti atau kos yang lebih tinggi jika iklan muncul untuk frasa-frasa yang tidak menghasilkan konversi yang baik.

    Untuk menguruskan risiko ini, Google Ads menawarkan variasi lain dalam strategi penargetan kata kunci, iaitu "Phrase Match" dan "Exact Match" yang memberikan tahap pengekangan yang lebih ketat ke atas iklan anda untuk memastikan iklan hanya muncul untuk frasa yang lebih spesifik dan relevan.


  2. Kata Kunci Perincian (Phrase Match): Kata kunci yang ditetapkan sebagai 'phrase match' akan memaparkan iklan anda sekiranya terma yang dicari oleh pengguna Google mengandungi kata kunci frasa yang anda tetapkan. Sebagai contoh; anda memilih 'kasut sukan wanita' sebagai kata kunci. Sekiranya, mana - mana pengguna Google menaip 'kasut sukan wanita jenama Nicki' atau 'pengguna kasut sukan wanita', maka iklan anda dipaparkan. Anda perlu meletakkan tanda frasa " ", untuk memberitahu Google yang anda menggunakan kata kunci 'phrase match'.


  3. Kata Kunci Tepat (Exact Match): Kata kunci yang ditetapkan sebagai 'exact match' akan hanya memaparkan iklan anda sekiranya terma yang dicari pengguna Google sama dengan kata kunci anda, TANPA ADA sebarang penambahan perkataan lain. Sebagai contoh, anda memilih kata kunci 'kasut sukan wanita' sebagai exact match, maka pengguna yang menggunakan kata kunci yang benar-benar sama sahaja akan dipaparkan oleh Google. Anda perlu meletakkan tanda [ ], untuk memberitahu Google yang anda menggunakan kata kunci 'exact match'.

    Lihat jadual dibawah untuk melihat perbandingan di antara ketiga-tiga kata kunci yang saya maksudkan.

4. Kata Kunci Negatif (Negative keyword)

Kata Kunci Negatif atau ‘negative keyword’ merujuk kepada kata kunci yang anda tentukan untuk dikecualikan daripada pengaktifan iklan anda. Ini bermaksud iklan anda tidak akan dipaparkan kepada orang yang mencari kata kunci tersebut. ‘Negative keyword’ sangat penting di dalam memastikan iklan anda hanya dipaparkan kepada audien yang relevan, yang boleh membantu meningkatkan kualiti lalu lintas dan mengurangkan pembaziran perbelanjaan.Contoh:

  • Anda menjual pelbagai jenama telefon pintar, kecuali iPhone. Kata kunci negatif yang sesuai untuk adalah adalah "telefon bimbit iPhone" untuk mengelakkan iklan anda dipaparkan kepada mereka yang mencari telefon bimbit "iPhone" yang sememangnya bukan jenama yang anda jual.

  • Jika anda menjual perisian berbayar, anda mungkin mahu mengecualikan perkataan "percuma" sebagai kata kunci negatif untuk mengelakkan pengguna mencari perisian percuma dari melihat iklan anda.

  • Jika anda menjual produk tertentu, anda boleh menggunakan kata kunci negatif seperti "perbandingan" untuk mengelakkan iklan anda dipaparkan kepada orang yang mencari perbandingan antara produk anda dan pesaing.

  • Jika anda menjual produk, anda mungkin mahu menghindari orang yang mencari "tips menggunakan [produk anda]" atau "cara membaiki [produk anda]" dengan menggunakan kata kunci negatif seperti "tips" atau "cara".

  • Jika perniagaan anda beroperasi di kawasan tertentu, anda boleh mengecualikan nama bandar-bandar yang tidak berkaitan sebagai kata kunci negatif untuk memastikan iklan anda hanya dipaparkan kepada penduduk-penduduk di dalam kawasan-kawasan yang anda inginkan sahaja.

  • Jika anda tidak menjual produk dengan harga murah, anda boleh menggunakan perkataan murah sebagai ‘negative keyword’ untuk mengelak iklan anda dipaparkan ketika pengguna mencari kata kunci tersebut.

Kesimpulannya; kata kunci adalah komponen penting di dalam Google Ads. Dengan menggunakan kata kunci dengan bijak, anda dapat meningkatkan kualiti trafik, mengurangkan kos per klik yang tidak produktif, dan meningkatkan peluang konversi.

Kata kunci di dalam Google Ads
Kata kunci di dalam Google Ads

Tip-Tip Memilih Kata kunci

Saya telah terangkan dengan agak terperinci tentang peranan dan jenis-jenis kata kunci yang boleh digunakan untuk Google Ads. Seterusnya, saya hendak berkongsi pula panduan-panduan memilih kata kunci untuk perniagaan anda.

1. Kenali Matlamat Anda

Langkah pertama di dalam mencari kata kunci yang berkesan adalah memahami matlamat kempen iklan anda. Apakah anda ingin meningkatkan jualan, meningkatkan kesedaran jenama, atau mendapatkan lebih banyak prospek? Matlamat anda akan membantu anda menentukan jenis kata kunci yang perlu anda sasarkan. Contohnya, jika matlamat anda adalah meningkatkan jualan, anda mungkin ingin memilih kata kunci yang berkaitan dengan produk atau perkhidmatan anda.

2. Guna Alat Perancang Kata Kunci

Google Keyword Planner adalah alat yang boleh membantu anda mencari kata kunci yang sesuai. Anda boleh menggunakannya untuk mencari kata kunci berkaitan dengan industri anda, melihat berapa banyak orang yang mencari kata kunci tersebut, dan mendapatkan cadangan kata kunci tambahan. Alat lain seperti SEMrush dan Ahrefs juga boleh membantu anda mendapatkan idea kata kunci yang berkualiti.

3. Fikirkan Tentang Kata Kunci Long Tail

Kata kunci "long tail" adalah frasa-frasa yang lebih panjang dan spesifik. Walaupun jumlah pencarian untuk kata kunci ini mungkin lebih rendah, mereka cenderung menarik pelanggan yang lebih tepat sasaran. Contohnya, "kasut sukan Nike untuk wanita" adalah satu contoh kata kunci long tail yang boleh menarik pengunjung yang mencari produk yang sangat tertentu.

4. Analisis Kata Kunci Pesaing

Lihat apa yang pesaing anda gunakan sebagai kata kunci. Ini boleh memberikan anda idea tentang kata kunci yang berkesan dalam industri anda. Juga, anda boleh mengesan kata kunci yang pesaing anda tidak sasarkan, yang mungkin menjadi peluang untuk anda menonjol.

5. Pertimbangkan Kata Kunci Negatif

Selain mencari kata kunci yang sesuai, anda juga perlu memikirkan kata kunci negatif. Kata kunci negatif adalah perkataan atau frasa yang anda tidak mahu iklan anda dikaitkan dengan mereka. Ini membantu menghalang iklan anda daripada muncul kepada audien yang tidak relevan. Contohnya, jika anda menjual kasut sukan berjenama, anda mungkin ingin menetapkan "kasut sukan murah" sebagai kata kunci negatif untuk mengelakkan pelanggan yang mencari kasut sukan murah daripada melihat iklan anda.

6. Ujilah dan Optimakan

Selepas anda memilih kata kunci, ujilah mereka di dalam kempen Google Ads anda. Pantau prestasi iklan anda dan lihat mana kata kunci yang berfungsi dengan baik dan mana yang tidak. Anda boleh mengoptimumkan kempen anda dengan mengubah kata kunci, menyesuaikan penawaran, dan membuat penyesuaian lain yang diperlukan.

Di dalam menghasilkan kempen Google Ads yang berjaya, pemilihan kata kunci yang betul adalah sangat penting. Dengan mengikuti tip-tip di atas dan melakukan penyelidikan yang berterusan, anda dapat meningkatkan keberkesanan kempen pemasaran anda dan mencapai matlamat anda dengan lebih berkesan. Ingatlah bahawa pencarian kata kunci adalah proses yang berterusan, dan perbaikinya dari masa ke semasa sehingga anda menjumpai kata kunci yang benar-benar efektif untuk perniagaan anda.

Kesimpulan

Pemahaman yang baik tentang kata kunci adalah kunci kepada kejayaan di dalam Google Ads. Dengan menggunakan kata kunci yang berkaitan dan mengoptimumkan kempen iklan anda, anda dapat menjangkau audien yang tepat, meningkatkan kualiti lead, dan mencapai matlamat pemasaran anda. Jangan lupa untuk sentiasa memantau dan mengoptimumkan kata kunci anda untuk mencapai prestasi yang lebih baik di dalam Google Ads.

Baca artikel-artikel yang berkaitan:

Katakunci di dalam Google Ads: Peranannya di dalam kejayaan kempen pengiklanan

Jenis-jenis pengiklanan di Google Ads

5 langkah mengira bajet iklan di Google

Panduan langkah demi langkah melancarkan iklan di Google Search

Panduan menulis tajuk iklan Google yang menarik

Bagaimana iklan carian di Google berfungsi

Memahami komponen dan struktur penting Google Ads

Bagaimana untuk mengukur prestasi iklan di Google Ads

Ketahui bagaimana kedudukan iklan Google ditetapkan di hasil carian pengguna

Ketahui strategi menetapkan harga bidaan di Google Ads untuk meningkatkan kejayaan kempen

Retargeting: Keperluannya dan kaedah melaksanakannya