Ketahui Bagaimana Kedudukan Iklan Google Ads Anda Di Tetapkan Di Hasil Carian Pengguna

Artikel ini menerangkan tentang algoritma yang digunakan oleh Google untuk menetapkan rangking iklan di hasil carian pengguna. Turut disentuh di dalam artikel ini adalah tip-tip bagi mengoptimakan kejayaan kempen iklan di Google Ads.

KEMPEN GOOGLE ADS

9/1/20236 min read

Kedudukan iklan di google ads
Kedudukan iklan di google ads

Topik ini adalah khusus untuk Google Search Ads!

Tahukah anda bahawa iklan-iklan yang diletakkan di kedudukan teratas hasil carian Google akan mempunyai lebih potensi untuk dilihat oleh bakal pelanggan dan seterusnya lebih berpotensi untuk dipilih oleh pelanggan berbanding iklan yang diletakkan di kedudukan-kedudukan terbawah? Sebab itulah, semua pengiklan akan berusaha sedaya upaya mereka untuk meletakkan iklan mereka di kedudukan-kedudukan utama seperti di tunjukkan di gambar di bawah. Tetapi, adakah anda tahu bagaimana Google menyusun kedudukan iklan-iklan yang saling bersaing antara satu sama lain? Artikel saya kali ini akan menceritakan kepada anda faktor-faktor yang dipertimbangkan oleh Google di dalam menyusun ranking iklan.

kedudukan iklan google
kedudukan iklan google

Untuk lebih memahami tentang bagaimana Google mengatur kedudukan iklan, lihat penerangan seterusnya.

Katakan ada 4 pengiklan: pengiklan 1, 2, 3 dan 4. Berdasarkan gambar rajah di bawah, pengiklan 1 meletakkan bidaan tertinggi sebanyak RM2.00, pengiklan 2 (RM4), pengiklan 3 (RM6.00) dan pengiklan 4 (RM8.00). Sekiranya mengikut prinsip bidaan biasa, pengiklan 4 sepatutnya berada di ranking teratas kerana mereka meletakkan bidaan yang tertinggi. Tetapi, prinsip ini tidak terpakai di Google Ads, kerana Google lebih mementingkan kualiti iklan anda, berbanding nilai bidaan. Google percaya bahawa, iklan yang berkualiti mampu meningkatkan jumlah klik ke atas iklan, dan tentunya meningkatkan pendapatan pengiklanan Google (mengikut prinsip kos per klik).

Walaupun pengiklan I hanya membida maksimum sebanyak RM2 (terendah berbanding yang lain), namun skor kualiti mereka adalah yang paling tinggi. Maka, Google membuat keputusan untuk meletakkan pengiklan 1 di kedudukan yang pertama.

kedudukan iklan google
kedudukan iklan google

Sebenarnya, Google menggunakan algoritma yang kompleks untuk menentukan kedudukan iklan di hasil carian Google Ads. Algoritma ini mengambil kira banyak faktor, termasuk:

a. Bidaan: Bidaan adalah jumlah maksimum yang anda sanggup bayar untuk setiap klik pada iklan anda. Google akan memberikan kedudukan yang lebih tinggi kepada iklan yang mempunyai bidaan yang lebih tinggi. Namun, iklan yang menawarkan bidaan yang lebih tinggi tidak semestinya akan mendapat kedudukan yang lebih tinggi. Google juga akan mempertimbangkan faktor-faktor lain seperti relevansi dan skor kualiti iklan anda, seperti yang telah saya terangkan sebelum ini.

b. Nilai ambang (Ad rank threshold): Google menetapkan nilai ambang minimum yang mesti dipenuhi oleh setiap iklan untuk layak dipaparkan di hasil carian pengguna. Nilai ambang ini dikira berdasarkan kualiti iklan.

c. Kontek suatu pertanyaan (Context of the query): Ketika membuat penyusunan kedudukan suatu iklan, konteks memainkan peranan. Konteks bermaksud terma carian yang dicari oleh seseorang, lokasi orang tersebut ketika membuat carian, peranti yang digunakan untuk membuat carian (laptop, desktop, tablet), masa, lain-lain signal dan attribute.

d. Penggunaan Assets (dahulunya dikenali sebagai Ad Extensions): Assets akan memberikan nilai tambah atau jumlah pemarkahan kepada iklan. Makin banyak Assets yang relevan digunakan dalam iklan, lebih tinggi markah dan peluang untuk dipaparkan di kedudukan teratas.

e. Skor kualiti: Google Ads menggunakan 3 faktor untuk mengira skor kualiti, iaitu:

  • Relevansi: Ia adalah sejauh mana iklan anda relevan dengan kata kunci yang dicari pengguna. Google akan memberi markah yang lebih tinggi kepada iklan yang lebih relevan. Anda boleh meningkatkan relevansi iklan anda dengan menggunakan kata kunci yang tepat di dalam teks iklan anda dan memastikan iklan anda memberikan maklumat yang relevan dengan apa yang dicari pengguna.

  • Click-through rate (CTR): Ia adalah nisbah bilangan kali iklan anda di klik dengan bilangan kali ia dipaparkan. Google akan memberi markah yang lebih tinggi kepada iklan yang mempunyai CTR yang lebih tinggi (berdasarkan prestasi iklan sebelumnya). Anda boleh meningkatkan CTR iklan anda dengan membuat iklan yang lebih menarik dan relevan dengan kata kunci yang disasarkan.

  • Pengalaman laman pendaratan: Ia adalah sejauh mana laman web yang dipaparkan apabila pengguna mengklik iklan anda memenuhi jangkaan mereka. Google akan memberi markah yang lebih tinggi kepada iklan yang mempunyai laman web yang memberikan pengalaman yang positif kepada pengguna. Anda boleh meningkatkan pengalaman laman web anda dengan membuat laman web yang mudah dinavigasi, informatif, dan selamat.

Skor kualiti adalah skala 1 hingga 10, dengan 10 adalah markah tertinggi. Kualiti skor yang lebih tinggi akan membolehkan iklan anda dipaparkan pada kedudukan yang lebih tinggi di dalam hasil carian dan dengan kos klik yang lebih rendah.

Memandangkan skor kualiti menyumbang secara signifikan kepada kejayaan kempen Google Ads anda, selain boleh membantu menurunkan CPC, maka di topik seterusnya, saya akan kongsikan panduan menulis tajuk dan deskripsi iklan, serta bagaimana mencipta laman pendaratan yang efektif bagi mengoptimakan kejayaan kempen Google Ads anda.

Panduan mengoptimakan kejayaan kempen Google Ads

Di dalam topik ini, saya akan kongsikan panduan yang efektif untuk menulis iklan dan juga merekabentuk laman pendaratan bagi membantu meningkatkan skor kualiti iklan anda, dan seterusnya mengoptimakan kejayaan kempen iklan anda.

1. Tajuk iklan

Tajuk iklan di dalam Google Ads adalah elemen penting untuk menarik perhatian pengguna dan memotivasikan mereka untuk mengklik iklan anda. Menulis tajuk yang menarik dan relevan boleh meningkatkan kadar klik dan keberkesanan kempen anda. Anda dibenarkan menulis sehingga 15 tajuk atau sekurang-kurangnya 3 tajuk di dalam teks iklan anda. Ikuti panduan menulis tajuk yang efektif, seperti berikut:

a. Perhatikan Kata Kunci: Masukkan kata kunci utama di dalam tajuk untuk menunjukkan relevansi iklan dengan apa yang dicari oleh pengguna.
Contoh:

Jika anda menjual kasut sukan, tajuk seperti "Kasut Sukan Berkualiti Tinggi untuk Aktifkan Gaya Hidup Anda" adalah relevan dengan kata kunci "kasut sukan berkualiti".

b. Tajuk mestilah relevan dan Jelas: Tajuk anda perlu relevan dengan produk atau perkhidmatan yang anda tawarkan. Pastikan ia jelas dan mudah difahami.
Contoh:

  • "Beli Buku Online Hari Ini"

  • "Pakej Percutian Eksklusif di Pulau Cantik"

c. Gunakan Kata Dorongan: Gunakan kata-kata seperti "Dapatkan", "Jangan Lewatkan", atau "Tawaran Terhad" untuk memotivasikan pengguna untuk mengklik iklan anda.
Contoh:

  • "Dapatkan Diskaun 20% Sekarang!"

  • "Jangan Lewatkan Peluang Istimewa Ini!"


2. Deskripsi iklan

Selain tajuk, deskripsi juga memainkan peranan yang sangat penting untuk meningkatkan keberkesanan iklan anda. Berikut saya kongsikan panduan menulis deskripsi iklan yang efektif:

a. Tunjukkan Manfaat Utama: Terangkan bagaimana produk atau perkhidmatan anda dapat membantu atau memenuhi keperluan pengguna.
Contoh:

  • "Tempah Hotel dengan Kemudahan Luar Biasa"

  • "Pakej Percutian yang Akan Meninggalkan Kenangan Abadi"

b. Gunakan Tawaran Unik: Nyatakan apa yang membezakan anda daripada pesaing. Sediakan tawaran unik yang menarik.
Contoh:

  • "Nikmati Hidangan Eksklusif Tiada Tandingannya"

  • "Produk Terbaru dengan Rekaan Pemenang Anugerah"

c. Panggilan Bertindak atau Call To Action (CTA): Gunakan panggilan bertindak yang khusus dan memikat untuk mengajak pengguna untuk mengambil tindakan.
Contoh:

  • "Pesan Sekarang untuk Penjimatan Tertinggi!"

  • "Hubungi Kami Hari Ini untuk Maklumat Lanjut"

d. Penekanan pada Keunikan dan Kelebihan: Ceritakan tentang kelebihan dan keunikan produk atau perkhidmatan anda.
Contoh:

  • "Teknologi Canggih yang Menjamin Prestasi Terbaik"

  • "Pilihan Produk Berkualiti Tinggi untuk Anda"

e. Penyelesaian Masalah : Jika produk atau perkhidmatan anda menyelesaikan masalah tertentu, tunjukkan bagaimana ia berfungsi dalam deskripsi iklan.
Contoh:

  • "Solusi Cepat untuk Masalah Penghadaman"

  • "Perisian Yang Menyelesaikan Pengurusan Inventori Anda"


3. Laman pendaratan

Laman pendaratan atau landing page yang efektif adalah kunci di dalam mengubah pengunjung menjadi pelanggan. Berikut adalah beberapa beberapa panduan untuk mencipta laman pendaratan yang berkesan untuk iklan Google:

  • Relevan: Pastikan laman pendaratan anda berkaitan secara langsung dengan iklan yang pengunjung telah klik. Ini membantu memastikan kesinambungan dari iklan ke laman pendaratan.

  • Tajuk dan Penerangan yang Jelas: Tajuk dan penerangan laman pendaratan anda sepatutnya selari dengan tajuk iklan anda. Beri fokus pada manfaat utama dan apa yang ditawarkan.

  • Panggilan Tindakan (CTA) yang kuat: Letakkan panggilan tindakan yang jelas dan menarik. Contoh; "Beli Sekarang", "Daftar Percuma", atau tindakan lain yang anda mahu pengunjung lakukan.

  • Reka bentuk yang ringkas dan mudah di fahami: Reka bentuk laman pendaratan anda seharusnya ringkas dan mudah di fahami. Pengunjung perlu tahu di mana untuk mengisi maklumat atau membuat tindakan.

  • Kandungan yang berstruktur: Sediakan maklumat dengan kemas dan mudah dibaca. Tidak perlu panjang berjela sehingga poin-poin penting kelihatan tenggelam.

  • Visual yang menarik: Gunakan gambar atau video yang berkualiti tinggi yang berkaitan dengan produk atau perkhidmatan anda. Visual yang baik membantu menarik perhatian dan meningkatkan kepercayaan.

  • Kepantasan: Pastikan laman pendaratan dimuat dengan cepat. Pengunjung tidak suka menunggu, dan kelajuan memuat adalah faktor di dalam penilaian Google Ads.

  • Maklumat Berautoriti: Jika ada penghargaan, sijil atau testimoni yang boleh menunjukkan kebolehpercayaan anda, letakkan maklumat ini dengan jelas.

  • Keserasian antara muka mesej: Pastikan mesej yang diberikan di laman pendaratan sejajar dengan mesej di iklan. Ini mengurangkan kebingungan pengunjung.

  • Responsif terhadap peranti: Laman pendaratan anda perlu responsif, bermaksud ia akan menyesuaikan dengan baik di skrin telefon pintar, tablet, dan komputer.

Mencipta laman pendaratan yang efektif memerlukan penekanan pada keselarasan dengan iklan, kandungan yang jelas dan menarik, serta kemudahan penggunaan. Ia harus mengarahkan pengunjung ke tindakan yang diinginkan dan memberi pengalaman yang baik untuk mencapai konversi yang lebih baik daripada iklan Google anda.


4. Assets

Menurut Google, teks iklan yang mengandungi ‘Assets’ akan meningkatkan peluang iklan tersebut di klik oleh pengguna sebanyak 15 peratus. Sehubungan itu, untuk mengoptimakan kejayaan kempen iklan anda, pastikan anda meletakkan ‘Assets’ yang relevan dengan kempen dan perniagaan anda. Baca artikel ini untuk mengetahui jenis-jenis asset dan panduan memilih asset yang sesuai dengan iklan anda.

Kesimpulan

Google mempunyai kaedah tertentu untuk menetapkan kedudukan iklan di hasil carian pengguna. Antaranya adalah dengan melihat nilai bidaan yang ditawarkan, konteks pertanyaan, nilai ambang, penggunaan 'Assets' dan juga kualiti iklan. Bagaimanapun, kualiti iklan memainkan peranan yang paling signifikan di dalam menentukan kedudukan iklan dan juga potensi sesuatu iklan akan di klik oleh pengguna. Bagi memastikan iklan anda mendapat skor kualiti yang tinggi, pastikan anda menggunakan tajuk dan deskripsi iklan yang benar-benar mampu menarik perhatian pengguna, disamping laman pendaratan yang relevan dan mampu memberikan pengalaman berkualiti kepada pengunjungnya.