Bagaimana Menilai Potensi Perniagaan Makanan: Panduan Lengkap Kepada Bakal Peniaga Makanan
PEMASARAN RESTORANPEMASARAN
Pengenalan
Rakyat Malaysia, secara umumnya suka makan diluar rumah. Mungkin orang Malaysia ni malas masak, atau sebab mereka banyak duit di dalam poket. Mungkin juga sebab stress, dan mereka percaya makan diluar boleh hilangkan stress. Kerana ramainya rakyat Malaysia makan di luar rumah, maka macam-macam konsep kedai makan tumbuh di sana sini. Ada kedai makan berkonsepkan menu Korea, ada berkonsepkan tradisional, ada Western, malah ada yang menawarkan kedai makan hanya untuk healing-healing. Yang pasti, persaingan untuk perniagaan kedai makan adalah sangat sengit. Bukan setakat di negara ini, tetapi itulah realitinya di seluruh dunia.
Sekiranya anda ingi membuka perniagaan makanan, saya nasihatkan jangan buka ikut sukahati. Maksudnya; jangan terus buka perniagaan tanpa membuat kajian mendalam tentang potensi idea perniagaan anda. Buatlah kajian mendalam terutamanya tentang pasaran yang anda nak masuk dan pelanggan-pelanggan yang nak disasarkan. Sebabnya; pasaran dan pelanggan inilah yang akan menentukan samada perniagaan anda berjaya atau hilang dari radar selepas beberapa bulan.
Membuka perniagaan makanan ini memerlukan modal yang bukan sedikit nilainya. Kos pengubahsuaian kedai, kos mesin, kos bahan mentah, kos latihan, kos penyewaan dan sebagainya, mungkin mencecah ratusan ribu ringgit. Di bandar tempat saya tinggal kini, saya menyaksikan sendiri banyak perniagaan makanan di tutup hanya selepas beberapa bulan/tahun beroperasi. Saya percaya, senario ini tidak hanya berlaku di tempat saya. Tidak mustahil berlaku di tempat anda juga.
Jadi, saya tulis panduan ini untuk membantu anda membuat keputusan yang tepat samada untuk meneruskan idea perniagaan anda atau sebaliknya. Bacalah dengan teliti panduan ini dan aplikasinya supaya anda tidak berisiko untuk gagal dan menangis dikemudian hari.
Proses-proses sebelum membuka perniagaan makanan
Sebelum membuka perniagaan makanan, ada 6 proses utama yang anda kena buat terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk meneruskan idea perniagaan anda atau tidak. Proses-proses tersebut adalah:
1. Memahami keperluan pelanggan sasaran
2. Mengira anggaran saiz pasaran
3. Mengira anggaran saiz pelanggan yang boleh diperolehi
4. Membuat kajian persaingan
5. Mengukur potensi keuntungan
6. Melihat potensi pertumbuhan
7. Membuat keputusan
Saya akan menggunakan kedai kopi premium sebagai contoh di dalam menerangkan setiap proses yang dinyatakan di atas. Anggaplah seolah-olah anda ingin membuka kedai kopi premium ini di kawasan tempat tinggal anda.
1. Memahami Pelanggan Sasaran
Proses pertama dan sangat kritial sebelum anda membuka perniagaan makanan adalah dengan memahami siapa pelanggan sasaran anda. Katakan anda ingin membuka kedai kopi premium ala-ala Starbuck. Kedai kopi anda tidak akan menjadi destinasi yang sesuai untuk semua orang. Maka, kenalpasti demografi pelanggan sasaran adalah proses penting yang mesti dilakukan. Demografi ini meliputi umur, pendapatan, dan latarbelakang pendidikan mereka.
Secara umumnya, demografi pelanggan kedai kopi premium adalah seperti berikut:
Umur: Biasanya antara 25-55 tahun, dengan tumpuan kepada profesional muda dan individu yang sudah matang.
Pendapatan: Secara umumnya mempunyai pendapatan boleh guna yang lebih tinggi, membolehkan mereka berbelanja lebih untuk minuman kopi premium.
Pendidikan: Selalunya berpendidikan kolej dan berminat dengan trend dan kualiti.
Setelah anda mempunyai pelanggan sasaran di dalam fikiran, tiba masanya untuk menyelami lebih mendalam dan memahami keinginan kopi mereka. Apa yang perlu anda lakukan adalah dengan bertanya sendiri pelanggan sasaran ini melalui kaedah soalselidik atau temuduga. Soalan-soalan yang mungkin anda perlu tanya adalah:
Keutamaan Kopi Secara Umum:
1. Jenis kopi apa yang paling kerap anda minum (contohnya, minuman espresso, kopi titisan, cold brew)?
2. Betapa pentingnya kualiti biji kopi kepada anda?
3. Adakah anda lebih suka kopi berperisa atau pilihan yang lebih tradisional?
4. Jenis alternatif susu apa yang anda gunakan (susu tenusu, susu badam, susu oat, dll.)?
5. Berapa banyak yang anda biasanya belanjakan untuk minuman kopi?
Pengalaman di Kedai Kopi:
1. Jenis suasana apa yang anda cari di kedai kopi (contohnya, nyaman, moden, trendi, ruang kerja yang tenang)?
2. Betapa pentingnya kesediaan tempat duduk yang selesa dan Wi-Fi kepada anda?
3. Adakah anda berminat dengan kedai kopi yang menawarkan pastri atau pilihan makanan ringan?
4. Berapa kerap anda mengunjungi kedai kopi?
5. Faktor apa yang akan membuat anda memilih satu kedai kopi berbanding yang lain?
Memahami Keperluan dan Tabiat:
1. Adakah anda biasanya mengunjungi kedai kopi sendirian atau dengan orang lain?
2. Waktu apa dalam sehari yang paling mungkin anda mengunjungi kedai kopi?
3. Betapa pentingnya kedai kopi yang mudah diakses dari tempat kerja atau rumah anda?
4. Adakah anda menggunakan perkhidmatan pesanan mudah alih atau penghantaran untuk kedai kopi?
5. Apakah perkara-perkara yang akan membuat anda lebih cenderung menjadi pelanggan setia di kedai kopi?
Selain melakukan soalselidik atau temuduga, baca juga ulasan-ulasan pelanggan yang ditulis di Internet, terutamanya di media sosial pesaing-pesaing anda. Ulasan-ulasan pelanggan ini boleh memberikan anda maklumat yang cukup berharga tentang pelanggan sasaran, apa yang mereka mahukan dan kelemahan-kelemahan pesaing yang boleh anda gunakan untuk memberikan tawaran yang lebih baik kepada pelanggan.
Di dalam proses kedua dan ketiga pula, saya akan kongsikan bagaimana untuk menganggarkan saiz asas pelanggan sasaran anda dan berapa ramai dari mereka secara realistiknya anda boleh tarik sebagai pelanggan setia.
2. Mengira anggaran saiz pasaran
Selepas anda mengenalpasti siapa pelanggan sasaran dan memahami keperluan dan kehendak mereka dengan mendalam, proses kedua adalah dengan membuat anggaran bilangan pelanggan sasaran anda di bandar dimana anda ingin membuka kedai kopi tersebut. Dapatkan jumlah pelanggan sasaran ini di Jabatan Kerajaan yang berkaitan seperti Pejabat Daerah, Jabatan Perangkaan dan juga Suruhanjaya Pilihan Raya (melalui daftar pengundi).
Sebagai contoh; anda ingin membuka kedai kopi di Bandar Seri Iskandar yang mempunyai bilangan penduduk seramai 20,000 orang. Ingat! jumlah 20,000 ini bukan saiz pasaran anda kerana tidak semuanya merupakan penggemar kopi. Jadi, saiz pasaran sebenar anda adalah jumlah penggemar minuman kopi di Bandar Seri Iskandar.
Katakanlah; daripada jumlah keseluruhan penduduk di Bandar Seri Iskandar, anda mendapati pelanggan yang menggemari kopi adalah berjumlah 12,000. Namun begitu, perlu diingat bahawa daripada jumlah keseluruhan penggemar kopi, mungkin tidak semuanya menggemari dan mampu membeli kopi premium. Mungkin sebahagiannya (terutamanya golongan tua) hanya menggemari kopi tradisional yang dianggap lebih sedap dan murah. Pelanggan begini bukan pelanggan ideal anda.
Selepas anda membuat kajian dengan mendalam, anda mendapati anggaran jumlah penggemar kopi premium hanyalah 9,000. Maka, jumlah ini merupakan saiz pasaran anda yang sebenarnya.
Mesti anda tertanya-tanya, bagaimana untuk mendapatkan nilai anggaran tersebut. Perlu diketahui, nilai ini tidak boleh dipilih secara rambang. Sebaliknya, anda perlu buat kajian pasaran dengan bertanya penduduk-penduduk di Seri Iskandar. Tekniknya seperti berikut:
1. Tentukan jumlan sebenar penduduk Bandar Seri Iskandar. Katakan jumlah penduduk adalah 20,000 orang.
2. Ambil sample daripada jumlah penduduk untuk ditemuduga. Pengiraan ini adalah dengan memasukkan maklumat yang diperlukan kalkulator pengiraan saiz sample. Lihat gambar di bawah. Dengan memasukkan N= 2000, dengan tahap keyakinan 95% dan ralat 5%, maka saiz sampel yang diperlukan adalah 377 orang.
3. Dapatkan maklumat daripada 377 orang tersebut, dan tanya samada mereka penggemar kopi premium.
4. Katakanlah daripada 377 orang yang anda tanya, hanya 170 orang mengatakan mereka penggemar kopi premium. Maka, jumlah peratusannya adalah sekitar 45% (iaitu; 170 dibahagi dengan 377, dan didarabkan dengan 100).
5. Maka, anggaran jumlah peminat kopi premium daripada keseluruhan penduduk Bandar Seri Iskandar adalah 9000 orang ( iaitu; 45% x 20000). Jumlah inilah yang merupakan anggaran pelanggan sasaran anda atau saiz pasaran anda.
Gunakan kalkulator mengira sampel saiz yang banyak disediakan di Internet. Confidence level (tahap keyakinan) bermaksud berapa peratuskah anda yakin hasil keputusan kajian yang dibuat adalah mewakili pendapat keseluruhan populasi. 95% confidence level bermaksud anda yakin 95% bahawa keputusan kajian anda adalah tepat.
Margin of errors (Margin kesilapan) pula adalah ukuran seberapa jauh keputusan kajian anda mungkin berbeza dari nilai sebenar populasi. Ia juga dinyatakan sebagai peratusan. Margin kesilapan yang lebih kecil menunjukkan keputusan yang lebih tepat, tetapi ini biasanya memerlukan saiz sampel yang lebih besar.
Contoh: Jika anda mempunyai margin kesilapan ±5%, ini bermakna hasil kajian anda boleh berbeza sebanyak 5% ke atas atau ke bawah dari nilai sebenar populasi. Dalam konteks kedai kopi, jika 60% daripada sampel anda mengatakan mereka lebih suka kopi latte, dengan margin kesilapan ±5%, anda boleh mengatakan bahawa antara 55% hingga 65% daripada seluruh populasi pelanggan mungkin juga lebih suka kopi latte.
3. Mengira anggaran saiz pelanggan yang boleh diperolehi
Bagaimanapun, mampukah anda mencapai keseluruhan saiz pasaran tersebut dan menjadikan mereka sebagai pelanggan setia anda? Jawapannya adalah MUSTAHIL, kecuali memang tiada kedai kopi lain di bandar tersebut.
Di dalam perniagaan, kita perlu mendapatkan anggaran jumlah pelanggan yang realistik untuk dijadikan pelanggan setia. Bagaimanapun, tiada formula khusus untuk mendapatkan jumlah anggaran pelanggan setia kerana ia bergantung kepada:
Bilangan persaingan yang menawarkan kopi yang serupa
Keberkesanan strategi pemasaran yang anda gunakan
Ciri-ciri jualan unik (USP) yang anda tawarkan kepada pelanggan
Untuk sebuah perniagaan baru, andaikan sahaja anda hanya mampu menarik 7% sahaja daripada keseluruhan saiz pasaran. Maka, 7% x 9000 = 630 pelanggan setia setiap bulan. Kalau anda berupaya mendapat lebih daripada 7%, anggaplah ianya sebagai BONUS.
4. Membuat kajian persaingan
Proses keempat pula adalah mengenalpasti pesaing-pesaing yang menawarkan konsep yang serupa dengan apa yang anda ingin tawarkan kepada pelanggan. Ada dua jenis pesaing yang anda perlu kenalpasti iaitu:
Pesaing langsung - Pesaing yang menjual produk, perkhidmatan dan pengalaman yang serupa dengan apa yang anda ingin tawarkan kepada pelangan. Di dalam konteks kedai kopi premium, pesaing langsung anda mungkin Zuss Coffe, Richiamo, Starbuck, Kopi Mesin.
Pesaing tidak langsung - Pesaing yang turut menawarkan kopi premium, tetapi konsep dan pengalaman yang ditawarkan adalah sedikit berbeza. Sebagai contoh; kopi premium yang dijual di stesen minyak, vending machine, pasaraya dan sebagainya.
Walapun pesaing tidak langsung ini mungkin tidak akan mempunyai kesan langsung kepada kedai kopi anda, namun begitu ia tetap menjadi pesaing kerana pelanggan mempunyai alternatif lain untuk mendapatkan kopi premium kegemaran mereka, tanpa perlu duduk bersantai di kedai kopi.
Berbalik kepada contoh membuka kedai kopi premium di Bandar Seri Iskandar. Setelah anda membuat tinjauan, anda mendapati ada 4 pesaing langsung anda di bandar tersebut. Apa yang anda perlu lakukan adalah anda mesti mengkaji kekuatan dan kelemahan setiap pesaing langsung ini, serta untuk mengenalpasti strategi pemasaran yang mereka gunakan. Kaedahnya;
Datang dan alami sendiri pengalaman menikmati kopi di kedai pesaing-pesaing anda
Tanya secara langsung kepada pekerja dan pelanggan-pelanggan mereka
Baca ulasan-ulasan pelanggan yang ditulis di media sosial dan Google Business Profile mereka
Teliti laman web dan media sosial mereka untuk melihat strategi pemasaran yang mereka gunakan
Selepas anda memperolehi semua maklumat yang diperlukan, langkah seterusnya adalah dengan menyusun strategi untuk perniagaan kedai kopi anda. Anda perlu fikirkan bagaimana untuk menjadikan kedai kopi anda ini lebih menarik kepada pelanggan-pelanggan, berbanding pesaing-pesaing anda. Ciptalah ciri-ciri jualan unik (USP) tersendiri, yang mungkin berupa:
Harga yang lebih murah tetapi pada kualiti yang sama
Jaminan kopi percuma sekiranya tidak disediakan pada tempoh yang dijanjikan
Sediakan bahan-bahan bacaan percuma. Sambil minum kopi, pelanggan boleh membaca
Sediakan kemudahan WiFi percuma. Ini merupakan aspek penting untuk menarik pelajar
Atau; tawarkan kopi percuma selepas pelanggan memperolehi jumlah kredit yang ditetapkan
Lain-lain idea yang anda fikirkan menarik dan ada nilainya kepada pelanggan
Fikirkan juga strategi promosi yang lebih efektif untuk mempromosikan kedai kopi anda kepada penduduk setempat. Jalan lupa untuk menekankan aspek USP yang ditawarkan kepada pelanggan, kerana USP inilah yang membezakan kedai kopi anda dengan kedai kopi yang lain-lain.
5. Mengukur Potensi Keuntungan
Proses 1 hingga 4 tertumpu kepada proses mengenalpasti dan memahami secara mendalam tentang pasaran dan persaingan. Proses ke 5 ini memfokuskan kepada potensi keuntungan perniagaan impian anda. Dan, di peringkat ini, anda mungkin perlu membuat keputusan samada untuk meneruskan rancangan anda atau pun melupakannya sahaja. Jadi, kena buat matematik sedikit.
Mengganggarkan potensi pendapatan
Bayangkan aliran pelanggan yang berterusan menikmati kopi di kedai anda – itulah yang dinamakan pendapatan! Berikut ialah cara untuk menganggarkan potensi pendapatan anda:
1. Anggaran bilangan pelanggan: Ingat kembali keputusan daripada Proses ke 3 iaitu anggaran bilangan pelanggan setia yang anda yakin boleh perolehi. Untuk pengiraan yang lebih mudah, gunakan anggaran bilangan yang anda boleh perolehi setiap bulan.
Mengambil contoh kedai kopi di Bandar Seri Iskandar. Anda yakin kedai kopi anda mampu menarik pelanggan seramai 630 orang setiap bulan (7% daripada saiz pasaran kopi premium).
2. Nilai Pesanan Purata (AOV): AOV ini mewakili purata perbelanjaan pelanggan setiap lawatan. Katakan, setiap pelanggan akan menghabiskan purata RM30 setiap kali lawatan ke kedai kopi anda (dengan membeli kopi dan makanan). Maka, pendapatan yang anda boleh perolehi setiap bulan adalah RM30 X 630 orang = RM18,900.00 .
Mengganggarkan kos operasi
Setelah anda mengira anggaran pendapatan sebulan, peringkat seterusnya adalah dengan mengira jumlah kos yang anda perlu tanggung setiap bulan. Kos ini meliputi kos tetap, dan kos berubah-ubah. Kos tetap adalah kos yang perlu anda tanggung walaupun kedai kopi anda tidak membuat jualan. Contohnya; kos pekerja, kos sewa kedai, kos insurans, kos utiliti dan sebagainya.
Manakala, kos berubah-ubah pula adalah kos yang berubah mengikut jualan. Contohnya yang jelas adalah kos bahan mentah dan bahan api. Semakin tinggi jualan, semakin tinggi kos bahan mentah dan bahan api yang perlu ditanggung.
Katakanlah, setelah anda membuat pengiraan dengan cermat, kos keseluruhan yang anda tanggung adalah seperti berikut:
Kos tetap = RM10,000.00
Kos berubah-ubah = RM5,000.00
Jumlah kos = RM15,000.00 sebulan
Mengganggarkan keuntungan
Keuntungan adalah jumlah pendapatan ditolak dengan jumlah kos. Berdasarkan contoh kedai kopi, anggaran keuntungan yang boleh diperolehi sebulan adalah:
Anggaran keuntungan = RM3,900 (iaitu RM18,900 - RM15,000)
6. Melihat potensi pertumbuhan
Selepas anda berjaya memperolehi anggaran keuntungan bulanan, peringkat seterusnya yang perlu dilihat adalah potensi pertumbuhannya. Untuk tahu potensi pertumbuhan perniagaan makanan, tentulah kena melihat kepada potensi pertumbuhan kawasan yang ingin dimasuki. Aspek yang kena dinilai adalah pertumbuhan penduduk, kedudukan ekonomi mereka dan pembangunan yang dirancang di kawasan itu. Dengan cara ini, anda boleh buat keputusan yang lebih yakin sama ada kawasan itu sesuai untuk memulakan perniagaan atau tidak.
a. Tengok Jumlah Penduduk dan Pertumbuhan
Apa yang perlu tahu:
Adakah jumlah penduduk makin bertambah? Siapa penduduk di kawasan itu? Contohnya pelajar, pekerja, atau keluarga?Bagaimana nak tahu:
Semak laporan banci penduduk.
Perhatikan kawasan sekitar – banyak tak perumahan baharu atau pendatang baharu?
b. Fahami Keadaan Ekonomi Penduduk
Apa yang perlu tahu:
Penduduk di kawasan itu mampu beli barang atau tidak?
Ada pekerjaan yang berkembang?
Bagaimana nak tahu:
Cari data pendapatan purata penduduk dari sumber kerajaan.
Tanya orang tempatan tentang pekerjaan dan perbelanjaan mereka.
c. Periksa Pembangunan dan Infrastruktur
Apa yang perlu tahu:
Ada akses mudah seperti jalan besar, parkir, atau pengangkutan awam?
Apa projek pembangunan baru, seperti pusat beli-belah atau taman perumahan?
Bagaimana nak tahu:
Semak rancangan pembangunan dengan pihak berkuasa tempatan.
Gunakan Google Maps untuk tengok lokasi strategik.
Kesimpulan
Perniagaan makanan adalah perniagaan yang sangat sengit persaingannya, dan memerlukan modal awalan yang tinggi. Maka, untuk mengurangkan risiko perniagaan makanan anda gagal, pastikan anda melakukan 7 proses yang telah dinyatakan di atas, yang secara umumnya melibatkan kajian pasaran dengan mendalam.
Kajian terhadap pelanggan sasaran - Tujuannya adalah untuk mengenalpasti siapa mereka, saiznya, keperluan dan kehendak mereka. Selepas kita memiliki semua maklumat yang diperlukan, barulah kita boleh putuskan samada saiz tersebut mencukupi untuk dijadikan pelanggan setia dan menjana keuntungan yang memuaskan kepada perniagaan. Sekiranya jumlahnya mencukupi, fikirkan juga bagaimana untuk memastikan kedai makan anda mampu menawarkan apa yang pelanggan sasaran anda kehendaki.
Kajian terhadap pesaing - Tujuannya adalah untuk mengenalpasti tahap persaingan, kelemahan dan kelebihan pesaing serta strategi pemasaran yang mereka gunakan. Apabila anda memiliki maklumat yang mencukupi tentang pesaing, anda boleh merangka strategi pemasaran yang lebih baik berbanding mereka. Strategi pemasaran ini mungkin merangkumi kualiti, harga, kaedah promosi, layanan, persekitaran dan sebagainya.
Bagaimanapun, perlu diketahui bahawa banyak faktor yang mendorong kepada kejayaan/kegagalan sebuah perniagaan makanan. Walapun anda yakin telah melakukan yang terbaik dari aspek kualiti dan pemasaran, tetapi sekiranya anda gagal di dalam mengurus kewangan, produktiviti pekerja dan rantaian bekalan, tidak mustahil perniagaan anda juga boleh menemui kegagalan.
Untuk memahami aspek-aspek lain berkaitan perniagaan makanan, sila baca artikel-artikel berikut:
Strategi menetapkan harga jualan produk makanan
Perlu bantuan penyelidikan pasaran untuk perniagaan makanan anda? Telefon kami terus atau isi borang dibawah.