Jenis-Jenis Strategi Harga Di Dalam Pemasaran
PEMASARAN
Di dalam dunia perniagaan yang kompleks, penetapan harga produk atau perkhidmatan yang ditawarkan adalah salah satu keputusan penting yang mesti dilakukan dengan bijak dan berhati-hati. Ini kerana kesilapan di dalam menetapkan harga boleh menyebabkan perniagaan anda mungkin kerugian (Contoh; meletakkan harga di bawah kos) dan juga mungkin menyebabkan perniagaan anda gagal menarik pelanggan (Contoh; harga terlalu mahal dan kurang munasabah). Terdapat banyak jenis strategi harga yang biasa digunakan oleh ahli pemasaran bagi memastikan harga yang ditawarkan mampu menarik pelanggan dan mencapai keuntungan yang ditetapkan. Artikel ini akan menyentuh 7 jenis strategi harga yang biasa digunakan oleh perniagaan bagi mencapai pelbagai objektif pemasaran mereka.
Sekiranya anda berminat untuk mempelajari bagaimana perniagaan makanan menetapkan harga produk mereka, boleh baca artikel Panduan Lengkap Menetapkan Harga Produk Makanan.
1. Harga Penembusan (Penetration)
Strategi harga penembusan melibatkan menetapkan harga produk atau perkhidmatan pada tahap yang sangat rendah dengan harapan dapat menguasai pasaran dan menarik pelanggan baru. Perniagaan mungkin memperoleh keuntungan yang lebih rendah pada peringkat awal, tetapi ia dapat membantu mencapai segmen pasaran yang lebih besar dan mengurangkan persaingan. Strategi ini sesuai digunakan untuk produk yang baru dilancarkan atau jenama-jenama yang belum dikenali di pasaran.
Pada peringkat awal, pembeli mungkin tidak tahu tentang produk ini atau mungkin perlu diwar-warkan secara aktif. Dengan menawarkan harga lebih rendah daripada pesaing, produk baru atau produk yang kurang dikenali boleh mencuri saham pasaran daripada pesaing-pesaing yang sudah wujud. Contohnya, MYAirlines iaitu syarikat penerbangan tambang murah yang baru di Malaysia menawarkan tambang penerbangan yang lebih murah berbanding pesaing yang telah kukuh seperti AirAsia untuk menarik minat pelanggan dan meningkatkan pasaran mereka di segmen penerbangan tambang murah.
Strategi harga penembusan memerlukan perhatian yang teliti di dalam penentuan harga jualan yang tepat. Perniagaan perlu memastikan harga masih mencukupi untuk menutup kos dan memperoleh keuntungan jangka panjang. Selepas memperolehi kedudukan yang kukuh di dalam pasaran, perniagaan mungkin akan menaikkan harga secara beransur-ansur untuk mencapai margin keuntungan yang lebih baik. Walaupun strategi harga penembusan boleh membawa banyak manfaat, ia perlu diimbangi dengan strategi pemasaran dan jualan yang efektif untuk mencapai kejayaan jangka panjang di dalam pasaran yang kompetitif.
2. Harga Persaingan (Competition Based Pricing)
Dalam strategi harga berdasarkan pesaing, perniagaan menetapkan harga produk atau perkhidmatan mereka berdasarkan harga yang ditawarkan oleh pesaing. Pendekatan ini memastikan bahawa harga mereka bersaing dengan pasaran semasa dan membantu mereka menarik pelanggan yang lebih prihatin tentang nilai dan harga. Di dalam strategi harga persaingan, anda boleh samada menetapkan harga yang sama dengan harga pesaing, ATAU menetapkan harga yang lebih tinggi/rendah sedikit berbanding harga mereka.
Contohnya; jika harga pesaing untuk produk yang serupa dengan apa yang anda tawarkan adalah RM150. Untuk menarik lebih ramai pelanggan membeli daripada anda berbanding dari pesaing anda, maka anda ingin menawarkan diskaun sebanyak 10%.
Harga Jualan = Harga Pesaing - (Harga Pesaing x Diskaun)
Harga Jualan = RM150 - (RM150 x 0.10)
Harga Jualan = RM150 - RM15
Harga Jualan = RM135
Berdasarkan kiraan di atas, harga selepas diskaun yang anda tawarkan kepada pelanggan adalah RM135.
3. Harga Dinamik (Dynamic Pricing)
Strategi harga dinamik melibatkan penyesuaian harga secara automatik berdasarkan permintaan pasaran semasa, musim, atau faktor lain yang relevan. Ia membolehkan perniagaan untuk menetapkan harga yang berubah-ubah untuk memaksimumkan keuntungan pada waktu tertentu. Contohnya, harga tiket penerbangan atau harga penginapan hotel yang berubah mengikut musim cuti atau hari penuh. Harga dinamik sering dikendalikan oleh algoritma yang kompleks yang mengambil kira banyak data, dan oleh itu, pengiraan secara manual biasanya tidak terlibat dalam strategi ini. Contoh; penyedia perkhidmatan tempahan penginapan dan perjalanan seperti Klook, Traveloka, TripAdvisor menggunakan strategi harga ini.
Tripadvisor adalah salah satu platfrom penasihat pelancongan digital yang menawarkan harga penginapan menggunakan strategi dinamik.
4. Harga Psikologi (Psychology Pricing)
Harga psikologi melibatkan penggunaan angka tertentu atau teknik pemformatan harga yang bertujuan mempengaruhi persepsi pelanggan terhadap nilai produk atau perkhidmatan. Strategi ini berfokus pada aspek psikologi pembeli, seperti persepsi harga yang lebih rendah, daya tarikan visual, dan angka-angka tertentu yang membuatkan harga kelihatan lebih menarik. Contohnya, menetapkan harga produk pada RM99.99 berbanding RM100 memberi persepsi bahawa harga itu lebih rendah, walaupun perbezaannya hanya satu sen.
Jika kos pembuatan produk adalah RM50 dan perniagaan anda ingin mendapat margin keuntungan 30%, maka harga jualan yang sepatutnya ialah:
Harga Jualan = Kos Pembuatan / (1 - Margin Keuntungan)
Harga Jualan = RM50 / (1 - 0.30)
Harga Jualan = RM50 / 0.70
Harga Jualan = RM71.43
Di dalam harga psikologi, perniagaan anda mungkin membulatkan harga tersebut kepada RM69.99 untuk memberi persepsi harga yang lebih rendah secara psikologi.
5. Harga Berkumpul (Bundle Pricing)
Strategi harga berkumpul melibatkan penjualan beberapa produk atau perkhidmatan sebagai satu pakej pada harga yang lebih rendah berbanding jika dibeli secara individu. Pendekatan ini bertujuan untuk merangsang pelanggan membeli lebih banyak item dan meningkatkan nilai transaksi.
Contoh; Jika kos produk A adalah RM50, produk B adalah RM30, dan syarikat ingin memberi diskaun 10% untuk pakej berkumpul, maka harga jualan pakej tersebut ialah:
Harga Pakej = (Kos Produk A + Kos Produk B) - (Jumlah Kos x Diskaun)
Harga Pakej = (RM50 + RM30) - [(RM50 + RM30) x 0.10]
Harga Pakej = RM80 - (RM80 x 0.10)
Harga Pakej = RM80 - RM8
Harga Pakej = RM72.
6. Harga Berdasarkan Kos (Cost Based Pricing)
Strategi harga berdasarkan kos (cost-based pricing) melibatkan penetapkan harga produk berdasarkan kos pembuatan produk itu sendiri dan tambahan margin keuntungan yang dikehendaki. Pendekatan ini memastikan bahawa perniagaan memperoleh keuntungan yang mencukupi untuk melaksanakan operasi dan mengembangkan perniagaan mereka.
Strategi penetapan harga berdasarkan kos sesuai digunakan di dalam situasi-situasi berikut:
1. Persaingan Tinggi dan Margin Keuntungan Rendah: Ia sangat berguna di dalam industri dengan tahap persaingan yang tinggi dan margin keuntungan yang rendah, kerana ia memastikan harga dapat menampung kos dan memberikan margin keuntungan kepada perniagaan.
2. Produk Standard: Untuk produk-produk standard (contoh; produk makanan dan produk kegunaan harian), dan terdapat sedikit perbezaan antara pesaing, penetapan harga berdasarkan kos dapat membantu mengekalkan kelebihan daya saing.
3. Perniagaan Baru: Bagi perniagaan baru atau produk baru, penetapan harga berdasarkan kos dapat menyederhanakan proses penetapan harga dan memastikan mereka tidak menjual pada harga yang merugikan.
4. Sektor Pengeluaran: Pengilang sering menggunakan penetapan harga berdasarkan kos untuk menentukan harga dengan menambahkan kos sumber dan pengeluaran, kemudian menambah margin keuntungan untuk mendapat keuntungan yang diperlukan.
5. Perkhidmatan dengan Kos Pembolehubah: Di dalam industri di mana kos boleh berubah secara ketara, seperti syarikat penerbangan, penetapan harga berdasarkan kos dapat membantu bertindakbalas dengan cepat terhadap perubahan di dalam bekalan dan permintaan.
6. Penetapan Harga yang Telus: Di dalam pasaran di mana pelanggan menghargai ketelusan, penetapan harga berdasarkan kos dapat membenarkan peningkatan harga dengan lebih mudah apabila kos meningkat.
Dalam situasi-situasi ini, penetapan harga berdasarkan kos membantu perniagaan kekal menguntungkan dan bersaing dengan memastikan semua kos ditampung dan margin keuntungan yang adil dimasukkan di dalam harga.
Sila baca artikel Strategi Penetapan Harga Makanan untuk mendapatkan penerangan lebih terperinci tentang strategi penetapan harga berdasarkan kos.
Kaedah Pengiraan dan Penetapan Harga Berdasarkan Kos
Berikut merupakan 3 langkah mudah untuk menetapkan harga berdasarkan kos.
Langkah 1: Kenal Pasti Kos Pembuatan Produk
Kenal pasti kos yang terlibat dalam pembuatan produk, termasuk bahan mentah, tenaga kerja, overhead kilang, dan kos operasi.
Langkah 2: Tetapkan Margin Keuntungan yang Diinginkan
Tetapkan margin keuntungan yang dikehendaki. Margin ini adalah peratusan keuntungan yang diinginkan sebagai peratus daripada kos pembuatan produk.
Langkah 3: Pengiraan Harga Jualan
Untuk mengira harga jualan berdasarkan kos, gunakan formula berikut:
Harga Jualan = Kos Pembuatan / (1 - Margin Keuntungan)
Contoh; jika kos pembuatan produk adalah RM200 dan syarikat ingin mencapai margin keuntungan 30%, maka harga jualan yang dienarkan ialah: Harga Jualan = RM200 / (1 - 0.30) Harga Jualan = RM200 / 0.70 Harga Jualan = RM285.71
Dalam contoh ini, harga jualan produk ditetapkan pada RM285.71 berdasarkan strategi harga berdasarkan kos, yang mengambil kira kos pembuatan produk dan margin keuntungan yang dikehendaki.
7. Harga Berdasarkan Nilai (Value Based Pricing)
Strategi harga berdasarkan nilai melibatkan penetapan harga berdasarkan nilai yang diterima pelanggan daripada produk atau perkhidmatan tersebut. BUKAN BERDASARKAN KOS. Pendekatan ini memerhatikan manfaat yang diberikan produk atau perkhidmatan kepada pelanggan, serta perbezaan antara ciri-ciri dan prestasi dengan harga yang ditawarkan. Perniagaan harus memahami keperluan dan keinginan pelanggan serta mengetahui bagaimana produk dan perkhidmatan mereka dapat memenuhi keperluan tersebut.
Produk yang sesuai untuk strategi harga berdasarkan nilai adalah produk yang memberikan manfaat yang jelas kepada pelanggan dan dianggap berharga oleh mereka. Contohnya;
Produk Premium dengan Kualiti Tinggi: Produk yang diiktiraf sebagai produk premium dengan kualiti yang unggul sesuai untuk strategi harga berdasarkan nilai. Pembeli mempunyai kesedaran bahawa produk tersebut menawarkan ciri-ciri atau prestasi yang lebih baik daripada produk pesaing. Oleh itu, pembeli bersedia membayar lebih tinggi kerana nilai yang diterima daripada produk tersebut. Contoh iPhone dan jam tangan Rolex.
Produk dengan Prestasi Khusus: Produk yang menawarkan prestasi yang khusus atau mempunyai ciri-ciri unik biasanya menggunakan strategi harga ini. Pembeli dapat memperoleh nilai yang tinggi daripada produk ini kerana ia dapat memenuhi keperluan dan keinginan mereka dengan lebih baik daripada produk alternatif. Contoh; GoPro dengan kamera aksi mereka yang direka khas untuk aktiviti sukan ekstrim, dan Dyson dengan teknologi penyedut habuk unik mereka.
Produk yang Menawarkan Kemudahan atau Kebolehgunaan yang Luar Biasa: Produk yang menawarkan kemudahan penggunaan atau kebolehgunaan yang luar biasa boleh menarik nilai yang lebih tinggi bagi pelanggan. Pembeli bersedia membayar lebih kerana mereka melihat nilai dalam kemudahan atau keselesaan yang diperoleh daripada produk tersebut. Contohnya; Starbucks dan Thermomix iaitu mesin memudahkan cara memasak dikala perjalanan.
Produk yang Membantu Menyelesaikan Masalah Pelanggan: Produk yang membantu menyelesaikan masalah atau mencapai matlamat pelanggan sesuai untuk strategi harga berdasarkan nilai. Pembeli bersedia membayar lebih kerana mereka melihat produk ini sebagai pelaburan untuk memperoleh nilai atau hasil yang diinginkan. Contohnya, jenama Garmin dengan jam tangan GPS yang membantu penganjur sukan dan penggemar kecergasan mencapai sasaran latihan mereka.
Perkiraan harga berdasarkan nilai
Strategi harga berdasarkan nilai adalah pengiraan harga berdasarkan nilai yang diberikan oleh produk kepada pelanggan, bukan berdasarkan kos pembuatan produk itu sendiri. Berikut adalah langkah demi langkah untuk mengira harga berdasarkan nilai:
Kenal Pasti Persona Pelanggan: Cipta profil terperinci pelanggan ideal anda, termasuk keperluan, keutamaan, dan titik sakit mereka. Persona pelanggan adalah gambaran visual tentang pelanggan ideal anda.
Ketahui Pendapat Pasaran Tentang Nilai Produk Anda: Apakah pandangan bakal pelanggan terhadap manafaat-manafaat produk anda kepada mereka?. Ini boleh dilakukan melalui kaedah tinjauan, temu bual, dan penyelidikan pasaran.
Membuat Kajian Terhadap Produk Pesaing: Fahami penetapan harga produk atau perkhidmatan yang serupa di pasaran. Ini membantu untuk menilai kedudukan nilai produk anda berbanding produk pesaing.
Tentukan Kepekaan Harga: Cari harga tertinggi dan terendah yang pelanggan anda bersedia untuk membayar untuk manafaat yang mereka perolehi melalui penggunaan produk anda. Ini boleh dicapai melalui kajian kepekaan harga (price sensitivity).
Tetapkan Objektif Penetapan Harga: Tentukan apa yang anda ingin capai dengan strategi penetapan harga anda—sama ada memaksimumkan keuntungan, meningkatkan bahagian pasaran, atau memasuki pasaran baru.
Mengira Kos: Pastikan bahawa harga merangkumi kos anda dan termasuk margin keuntungan. Ini adalah lantai penetapan harga anda.
Pilih Kaedah Penetapan Harga: Pilih kaedah yang selaras dengan objektif anda, seperti penetapan harga berperingkat, penetapan harga bungkusan, atau penetapan harga premium.
Uji Harga: Sebelum mengesahkan, uji pelbagai titik harga dengan segmen pasaran anda untuk melihat bagaimana mereka bertindak balas.
Semak dan Laras: Semak semula strategi penetapan harga anda secara berkala untuk memastikan ia kekal selaras dengan persepsi pelanggan dan keadaan pasaran.
Kesimpulan
Memilih strategi harga yang sesuai adalah penting bagi kejayaan perniagaan. Setiap strategi harga mempunyai kelebihan dan kelemahan mereka sendiri, dan keputusan harus diputuskan berdasarkan tujuan pemasaran, pasaran sasaran, dan keadaan ekonomi semasa. Dengan memahami beberapa alternatif strategi seperti strategi harga psikologi, harga berdasarkan nilai, dan harga berkumpul, perniagaan dapat meningkatkan daya saing mereka dan meraih kejayaan di dalam industri yang semakin mencabar.
Saya syorkan anda membaca artikel Panduan Lengkap Strategi Penetapan Harga Produk Makanan untuk mendapatkan maklumat tambahan berkaitan strategi penetapan harga. Selamat membaca!